Muhamad Zamri Anuar, 34, begitu gembira menerima kehadiran 'orang' baharu dalam keluarganya. Begitu juga isteri dan dua lagi anaknya.
Namun Muhamad Zamri langsung tidak menduga kegembiraannya menerima Nur Imna Khalisa hanya bertahan tiga bulan apabila anaknya itu meninggal dunia di sebuah taska di Presint 11 di sini, semalam.
Lebih menyedihkan Nur Imna Khalisa ditemuinya dan isteri sendiri dalam keadaan kaku dan kebiruan di premis tersebut ketika hendak menjemput pulang pada pukul 5.45 petang.
Bahagian mata, belakang badan serta telinga pula mempunyai kesan gigitan semut.
Difahamkan, bayi tersebut tidak meminum susu ketika ditinggalkan di dalam katil bayi kira-kira pukul 3 petang dan sepanjang tempoh itu, pengasuh didakwa langsung tidak menjenguk mangsa.
Bapa mangsa yang merupakan kakitangan Malaysia Airlines (MAS) mendakwa, bayinya berada dalam keadaan sihat ketika isterinya, Nafisah Ahmad Jauhari, 32, menghantar anak mereka itu ke taska berkenaan pada pukul 7.05 pagi.
"Ketika hendak ambil Nur Imna, Nafisah dan seorang lagi anak saya, Muhamad Zikri Rayyan, 5, pergi ke taska manakala saya dan anak perempuan, Nur Airis Khadijah, 4, tunggu di dalam kereta kira-kira 10 meter dari premis.
Tidak lama kemudian, Nafisah bergegas ke arah saya mengatakan anak saya sudah tiada. Saya pula sangka anak saya diculik sebelum berlari ke taska berkenaan.
"Sebaik sahaja masuk, luluh hati saya apabila lihat anak saya dalam keadaan terlentang di dalam tempat bayi dengan wajah dan badannya kebiruan, kaku. Semut juga ada di leher dan dadanya," dakwanya ketika ditemui di Hospital Putrajaya di sini hari ini.
Muhamad Zamri mendakwa, pada ketika itu, terdapat dua pengasuh yang sedang menunggu kedatangan ibu bapa mengambil anak masing-masing dan mereka hanya menangis serta mengatakan tidak tahu apa sebenarnya berlaku.
Difahamkan, anaknya dihurung semut kerana telah meninggal dunia antara dan hingga tiga jam sebelum ditemui hingga mengakibatkan belakang telinga, mata dan belakang badan mempunyai kesan gigitan.
"Saya reda dengan ketentuan Ilahi namun terkilan kerana pihak taska langsung tidak menghubungi saya antara pukul 3 hingga 5.45 petang itu," dakwanya.
Dia berkata, biasanya Nur Imna Khalisa telah siap dimandikan pengasuh ketika dia datang untuk mengambilnya pada waktu berkenaan.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Taska Putrajaya, Husna Abdul Rahman berkata, taska tersebut mempunyai lima pengasuh namun pada hari kejadian seorang daripadanya cuti sakit.
"Taska itu menjaga 33 kanak-kanak termasuk sembilan bayi dan enam transit selepas sekolah. Taska itu telah beroperasi lebih dua tahun," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid berkata, pihaknya telah mengambil keterangan pengasuh untuk membantu siasatan semalam.
Jelasnya, kes tersebut masih belum diklasifikasikan kerana keputusan bedah siasat tidak dikeluarkan lagi.Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20141001/dn_21/Lagi-kes-bayi-meninggal-dunia-di-taska#ixzz3Ety45sE4
© Utusan Melayu (M) Bhd