Membina Budaya Kerja Cemerlang


Untuk pekerja Muslim berperanan di arus perdana ekonomi Negara, menepati tuntutan Model Baru Ekonomi, memantap budaya kerja Islam adalah sangat relevan. Budaya kerja membicarakan bagaimana pandangan hidup seseorang pekerja terhadap amanah bekerja, sikap terhadap pencapaian dalam kerja dan cara masyarakat Muslim mengendali amalan kerja.

Islam sebagai agama yang memandu kehidupan Muslim sudah pasti mengemukakan budaya kerjanya yang tersendiri. Budaya kerja yang menepati falsafah dan nilai etika mengikut Islam akan melahirkan ciri-ciri berikut dalam menyusun dan menjalani kerja oleh individu dalam sesebuah masyarakat.

Pertama, melibatkan diri dalam sesuatu pekerjaan adalah wajib bagi setiap orang Islam. Justeru itu berkecimpung dalam urusan pekerjaan di anggap sebagai tuntutan keagamaan. Kerja itu ibadah. Menepati kehendak agama tersebut, pekerja Muslim seharusnya berusaha dengan gigih untuk meningkatkan mutu prestasi kerjanya. Mutu prestasi kerja adalah nilai positif yang mampu sentiasa dimajukan. Pandangan tersebut memerlukan kepada usaha mewujudkan satu budaya semoga mempertingkatkan mutu kerja adalah usaha yang berterusan untuk kesemua pekerja Muslim.

Budaya kerja Islam membina kekuatan melalui mekanisme dalaman (built in mechanism) iaitu menghubungkan usaha dan melaksana pekerjaan sebagai tuntutan agama. Tahap keimanan dan prestasi kerja dengan itu ada hubung kait yang rapat. Bagi pekerja Muslim yang ingin menghayati Islam, beliau seharus turut berusaha meningkatkan mutu kerja secara berterusan. Usaha ke arah matlamat tersebut merupakan usaha jihad. Berusaha untuk membina kekuatan ekonomi oleh masyarakat Islam melalui peningkatan mutu kerja merupakan tuntutan yang sangat utama dalam dunia hari ini. Tanpa kekuatan ekonomi umat Islam akan terus menerus dijajah.

Nabi S.A.W. pernah bersabda dengan maksud: "Sesungguhnya Allah suka apabila seseorang daripada kamu apabila melakukan sesuatu kerja, maka dia melakukannya dengan penuh ketelitian dan dengan sebaik-baiknya". (Hadis Riwayat Al-Baihaqi).

Mekanisme dalaman ini yang memerangsangkan pekerja Muslim. Malangnya pada hakikat semasa pekerja Muslim tidak memahami Islam secara sempurna dan melihat usaha dalam meningkat mutu prestasi kerja sebagai sesuatu yang berpisah dari paksi agama. Bahkan ada yang berpendapat ia adalah urusan kebendaan dan melalai umat Islam kepada tuntutan akhirat. Fahaman ini yang perlu diperbetulkan.

Kedua, Islam turut menyarankan kepada pekerja Muslim semoga menghayati tuntutan akhlak dalam urusan pekerjaan. Akhlak menuntut pekerja Muslim beramanah dan berintegriti dalam menyusun dan melaksana urusan pekerjaan. Menghayati akhlak luhur memboleh pekerja Muslim berprestasi dengan baik.

Islam melihat tuntutan akhlak sebagai sesuatu yang positif dan dinamik. Akhlak membentuk sikap dan daya penggerak yang positif kepada kemajuan pekerja dari pelbagai segi. Oleh itu agama menuntut umatnya supaya kreatif dan bersikap proaktif. Tanpa budaya akhlak yang tinggi, prestasi kerja akan menghadapi kemelesetan.

Ketiga, budaya kerja Islam memberi tekanan yang tinggi kepada amalan disiplin. Umat Islam sepatutnya, melalui penghayatan ibadat khusus seperti solat, puasa, zakat dan haji sepatutnya memiliki disiplin yang tinggi. Masyarakat tanpa disiplin akan pasti menjadi masyarakat yang mundur. Kemunduran ekonomi akan membuka ruang kepada pelbagai masalah lain kepada umat.

Islam memberi perhatian yang khusus tentang pengurusan masa dan sumber pembuatan. Islam mengutuk dengan sekerasnya kepada mereka yang tidak mengguna kuasa dengan berkesan dan menghormati masa (Surah Al Asr). Begitu juga dengan pengurusan penggunaan sumber-sumber dalam proses pembuatan. Allah S.W.T. mengkaitkan mereka yang membazir sama dengan amalan syaitan.

Keempat, Islam turut mendidik pekerja Muslim semoga bekerja secara muafakat dan berpasukan. Semangat ini jika dihayati secara sepenuhnya akan mampu meningkat prestasi kerja keseluruhan warga organisasi. Memandangkan kebanyakan kerja dilaksana melalui organisasi, budaya kerja berpasukan sangat dituntut oleh setiap organisasi. Jika sesebuah organisasi itu besar dari segi saiz pekerjanya sudah pasti kemajuan organisasi tersebut sangat bergantung kepada kerja secara muafakat. Matlamat ini bukan terhad kepada perhubungan individu-individu pekerja tetapi ia juga melibatkan bagaimana proses sistem kerja dibentuk. Kesemua aspek yang membolehkan tugasan di laksana secara harmoni memerlukan kebijaksanaan merancang kerja dan juga kesediaan individu pekerja bekerja dengan semangat muafakat.

Dari pembudayaan budaya kerja cemerlang seperti yang dikehendaki oleh Islam di atas, pekerja dan organisasi Muslim akan mampu berada di arus perdana ekonomi negara. Dengan tercapainya kejayaan tersebut ia merupakan permulaan kepada pekerja dan organisasi Muslim untuk berperanan di peringkat antarabangsa.
 
Copyright © 2014 Anything - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR I2U | PH | TAW | ID | AAB | FSB | AG |