7 Langkah Membasuh Tangan Dengan Betul


Amalkan tabiat kebersihan yang baik. Anda berpotensi untuk menyebabkan anda dijangkiti dan menyebarkan penyakit berjangkit kepada orang lain di persekitaran anda sekiranya tangan tidak bersih dan sering menyentuh muka dan permukaan awam. Penyakit seperti selsema, demam dan cirit-birit merupakan penyakit yang sangat mudah berjangkit dan diketahui mampu merebak melalui sentuhan tangan. Membasuh tangan merupakan salah satu dari cara mengelakkan penyebaran bakteria.

Tabiat membasuh tangan dengan kerap dapat membantu anda dan orang disekeliling dari dijangkiti kuman dengan mengawal penyebaran kuman dan mengekalkan persekitaran yang sihat. Terdapat 7 langkah membasuh tangan dengan betul yang seandainya diamalkan dengan kerap dapat membantu mengurangkan penyebaran kuman penyebab penyakit.

Langkah 1 – Basahkan kedua belah tangan

Buka pili dan basahkan kedua-dua belah tangan di bawah air mengalir yang suam sambil menggosok-gosok kotoran yang dapat dilihat dengan mata kasar.

Langkah 2 – Gunakan Sabun

Tiada sabun khas diperlukan. Namun begitu menggunakan sabun yang mempunyai aroma yang menarik dan menyenangkan dapat membantu kita anda untuk kerap mencuci tangan.

Adakah perlu menggunakan sabun Anti-Bacteria?

Sabun yang digunakan tidak semestinya mempunyai ciri anti-bakteria. Ini adalah kerana tujuan sabun adalah untuk mengeluarkan kuman yang terdapat pada permukaan bukan kepada mematikan kuman tersebut. Satu kajian pernah dijalankan yang mendapati penggunaan sabun anti-bakteria bukan sahaja mematikan malah menggalakkan pembiakan kepada sesetengah kuman yang mempunyai daya tahan kepada anti-bakteria tersebut. Tambahan pula, sabun anti-bakteria mengandungi bahan kimia seperti triscolan tidak selamat untuk digunaka dan boleh menyebabkan kulit menjadi kering.

Oleh itu, penggunaan sabun anti-bakteria tidak semestinya lebih baik daripada penggunaan sabun biasa yang lebih murah dipasaran.

Langkah 3 – Gosok semua permukaan tangan dengan buih Sabun

Pastikan dilakukan dengan teliti seperti

Gosok Tapak Tangan
Gosok Setiap Jari dan Celah Jari
Gosok kuku pada tapak tangan dengan menggaru tapak tangan
Gosok belakang tangan

Langkah 4 – Basuh selama 15 – 20 Saat

Mengikut kajian, masa yang dikatakan mencukupi untuk mencuci tangan dengan sempurna ialah selama 20 saat. Petua yang digunakan untuk mengganggarkan 20 saat ialah dengan lagu “Happy Birthday” yang diketahui umum satu dunia. Satu putaran lagu tersebut adalah dalam lingkungan 10 saat. Oleh itu lagu diulang 2 kali bagi mendapatkan anggaran masa 20 saat.

Langkah 5 – Bilas Tangan Dengan Sempurna

Buka pili air dan letakkan tangan di bawah air mengalir dengan posisi tangan menghala kebawah. Awas jangan sampai tangan terkena permukaan sinki. Bilas kedua belah tangan dengan menggosok sehingga hilang kesan buih sabun.

Langkah 6 – Tutup pili air dengan menggunakan tisu atau tuala.

Pastikan pili air ditutup menggunakan tuala atau tisu bagi mengelakkan bakteria mencemari tangan anda kembali terutama di tandas awam.

Langkah 7 – Keringkan tangan

Keringkan tangan dengan menggunakan tuala yang bersih ataupun dengan menggunakan kertas tisu. Jika berada di tandas awam, pengering udara panas boleh digunakan sekiranya ada.

Dengan mengamalkan amalan membasuh tangan dalam mengendalikan makanan, kemungkinan untuk berlakunya pencemaran silang juga akan berkurang.
 
Copyright © 2014 Anything - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR I2U | PH | TAW | ID | AAB | FSB | AG |