Menghasilkan susu badan: Bagaimana badan anda menghasilkan makanan semula jadi bayi yang terbaik



Ketahui apa yang berlaku ketika badan anda sedang bersedia untuk menghasilkan susu badan, iaitu makanan semula jadi terbaik untuk bayi.

Bagaimanakah payudara saya berubah semasa hamil?

Sebaik sahaja anda hamil, payudara anda mula bersiap-sedia untuk menyusukan bayi. Salah satu tanda bahawa anda sedang hamil ialah payudara menjadi lembut dan membengkak. Ini disebabkan oleh peningkatan hormon dalam badan anda.

Anda juga mungkin mendapati bahawa areola, iaitu bahagian kulit di sekitar puting anda, menjadi lebih gelap dan bintik-bintik kecil mula keluar. Perubahan warna areola ini sebenarnya ialah kaedah semula jadi untuk memberi panduan visual kepada bayi anda ke mana harus dituju apabila hendak menyusu.

Bintik-bintik kecil di sekitar areola pula menghasilkan bahan berminyak yang membersih, melicin dan melindungi puting anda daripada jangkitan semasa penyusuan badan.

Menjelang kelahiran bayi, tisu-tisu kelenjar dalam payudara anda akan membesar dua kali ganda. Apabila susu mula keluar selepas bayi dilahirkan, anda akan rasa payudara menjadi lebih berat dan penuh. Setiap satunya mungkin bertambah berat sebanyak 700 gram!

Bagaimanakah payudara menghasilkan susu?

Dalam setiap payudara terdapat kelenjar susu, iaitu organ yang menghasilkan susu badan. Dalam setiap kelenjar susu pula terdapat beberapa bahagian yang mempunyai tugas masing-masing dalam penghasilan susu badan:
  • Alveoli. Ini adalah tempat di mana susu badan dihasilkan. Alveoli merupakan kelompok-kelompok kantung kecil seakan-akan buah anggur di dalam payudara anda. Alveoli dikelilingi oleh otot-otot kecil yang menekannya untuk mengeluarkan susu masuk ke dalam duktul.
  • Duktul. Duktul ialah salur-salur kecil yang menyalirkan susu daripada alveoli ke dalam duktus susu utama.
  • Duktus susu. Ini adalah jaringan rumit salur-salur kecil yang membawa susu daripada duktul dan alveoli terus kepada bayi. Bayangkan duktus susu anda sebagai penyedut-penyedut minuman kecial yang kesemua hujungnya terletak di puting anda dan menyalirkan susu ke dalam mulut bayi. Duktus ini membesar dan jumlahnya bertambah semasa anda hamil. Anda mungkin mempunyai kira-kira Sembilan duktus dalam setiap payudara menjelang masa anda mula menyusukan.
Ketika sedang hamil, anda mungkin ternampak beberapa titik susu keluardaripada payudara. Hakikatnya, sistem pembuatan susu anda telahpun bersedia pada sekitar trimester kedua. Oleh itu, anda sudah boleh menyusukan bayi walaupun jika dia lahir pramatang.

Selepas bayi anda dilahirkan dan plasenta (uri) juga telah dikeluarkan, tahap hormon estrogen dan progesteron dalam badan anda mula jatuh. Ini memberi laluan kepada hormon prolaktin untuk dilepaskan daripada kelenjar pituitari yang terletak di dalam otak anda.

Hormon prolaktin memberi isyarat kepada badan supaya menghasilkan banyak susu untuk diberi kepada bayi. Prolaktin boleh membuatkan anda rasa lebih bersifat keibuan, dan oleh itu sesetengah pakar memanggilnya hormon keibuan. 

Bilakah saya boleh mula menyusukan bayi saya?

Anda boleh mula menyusukan bayi sebaik sahaja dia dilahirkan. Susu pertama yang anda berikan kepada bayi dipanggil kolostrum. Kolostrum bersifat pekat, kelihatan berkrim, kaya dengan protein dan rendah kandungan lemak.

Cecair istimewa yang mudah dihadam ini kaya dengan antibodi dipanggil immunoglobulin yang dapat melawan penyakit dan menguatkan sistem ketahanan badan bayi anda.

Susu anda akan keluar kira-kira tiga hari selepas anda melahirkan. Ini adalah masa apabila tahap prolaktin telah stabil dan anda boleh menghasilkan susu badan dan bukan lagi kolostrum.

Apakah yang berlaku apabila bayi anda mula menyusu?

Untuk membolehkan bayi anda menikmati susu badan anda, ia perlu dilepaskan daripada alveoli. Proses ini dikenali sebagai limpahan (letdown). Beginilah ia berlaku:
  • Apabila bayi anda menghisap, sensasi pada puting anda menyebabkan sebahagian daripada kelenjar pituitari anda membebaskan hormon oksitosin ke dalam aliran darah anda.
  • Apabila oksitosin sampai ke payu dara, ia menyebabkan otot-otot kecil di sekeliling alveoli yang dipenuhi dengan susu untuk menguncup dan mencengkam lantas membebaskan susu.
  • Susu anda mengalir sepanjang duktus yang terletak di sebalik areola.
  • Apabila bayi anda minum, dia menekan susu daripada duktus masuk ke dalam mulutnya.
Tatkala aliran susu anda meningkat semasa limpahan berlaku, anda juga mungkin rasa sedikit sakit seperti mencucuk-cucuk pada payudara anda. Susu anda mungkin menitik-nitik atau menyembur keluar. Jika payudara anda membengkak dan sakit dalam beberapa hari pertama ini, menyusui bayi dengan kerap dapat membantu mengurangkan masalah ini.

Anda mungkin rasa kontraksi dalam perut anda dalam beberapa hari pertama bayi mula menyusu. Ini dipanggil kesakitan susul (afterpains), dan rasanya seperti kontraksi hendak bersalin yang tidak kuat. Ini disebabkan oleh hormon oksitosin yang sedang mengecutkan uterus anda kembali ke saiz asal.

Oksitosin jugalah yang menyebabkan kontraksi uterus semasa kelahiran. Ketika menyusukan, anda juga mungkin rasa tenang, puas dan gembira. Tidak hairanlah oksitosin juga dikenali sebagai hormon kasih sayang!

Bagaimanakah payudara saya menghasilkan susu yang cukup untuk memenuhi keperluan bayi saya?

Ketika bayi anda sedang menyusu, hisapannya menyebabkan lebih banyak hormon prolaktin dibebaskan. Prolaktin merangsang badan anda supaya menghasilkan lebih banyak susu. Ini merupakan pesanan kepada payudara supaya membuat susu yang cukup bagi sesi penyusuan yang seterusnya.

Selepas beberapa jam, tahap prolaktin turun semula, tetapi akan meningkat kembali apabila bayi anda menyusu lagi. Dengan ini, lebih kerap bayi anda menyusu, lebih banyak prolaktin dalam aliran darah anda untuk menggalakkan pengeluaran susu. Ini juga merupakan sebab mengapa haid anda terhenti. Sesetengah ibu menggunakan penyusuan badan sebagai satu kaedah perancang keluarga.

Walau bagaimanapun, tindak balas prolaktin terhadap penyusuan akan beransur-ansur kurang dan haid anda akan kembali. Haid anda mungkin akan kembali walaupun anda masih menyusukan bayi secara eksklusif.

Namun begitu, anda masih mempunyai banyak susu. Menjelang waktu ini, penghasilan susu tidak lagi bergantung kepada prolaktin, sebaliknya kepada rangsangan daripada penyusuan bayi.

Susu ibu mengandungi protein istimewa yang dipanggil perencat maklum balas laktasi (feedback inhibitor of lactation - FIL) yang memberitahu payudara berapa banyak susu perlu dihasilkan. Jika bayi anda kerap menghabiskan susu pada sebelah payudara, tahap FIL dalam payudara itu akan rendah. Tahap FIL yang rendak mengingkatkan penghasilakan susu.

Jika susu kerap tidak dihabiskan, mungkin kerana bayi anda telah mula makan makanan pejal, maka FIL akan meningkat dan pengeluaran susu akan berkurangan.

FIL bertindak setempat, di dalam setiap payudara secara berasingan. Ini bermakna, anada boleh mengurangkan penghasilakn susu dalam sebelah payudara dan meneruskan penyusuan bayi dengan payudara sebelah lagi. FIL juga adalah sebab mengapa tidak mustahil satu payudara menghasilkan susu yang cukup untuk diminum oleh bayi sehingga kenyang. Ia juga menerangkan mengapa seorang ibu yang mempunyai anak kembar boleh menyusukan kedua-dua bayinya pada masa yang sama.
 
Copyright © 2014 Anything - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR I2U | PH | TAW | ID | AAB | FSB | AG |