Sejarah ASP Zabri - VAT 69


Seorang pemimpin VAT 69 yang dianggap pakar taktikal dan cukup digeruni komunis ialah Allahyarham Asisten Superintendan (ASP) Mohd Zabri Abdul Hamid yang dianggap perwira paling dikenang dalam pasukan elit berkenaan. 

Beliau terkorban akibat terkena jerangkap samar selepas pasukannya memenangi satu pertempuran di Hulu Perak, Perak pada 1975 dan sebagai tanda memperingati jasanya, sebuah kem latihan Komando 69 PGK di Tasik Banding, Grik, Perak dinamakan sebagai Kem Zabri. 

Menyingkap kisah tragis itu, seorang anggota VAT 69 yang terbabit dalam pertempuran itu, Sallehuddin Omar, 58, menegaskan peristiwa itu seolah-olah berlaku semalam dan semangat perjuangan rakan sepasukan tidak pernah pudar hingga ke hari ini. 

Namun, mereka tidak dapat menyembunyikan perasaan sedih ketika Zabri yang digelar ‘bos’ oleh anak buahnya menghembuskan nafas terakhir. Semuanya menitiskan air mata kerana kehilangan pemimpin disayangi. Hingga kini, jika bercerita mengenai Zabri, pasti menitiskan air mata. 

Detik perjuangan mereka bermula apabila tiga patrol diketuai Ismail Daud, ‘Mail Rantai’, Wan Tahar dan Sheikh Ismail, ditugaskan menggagalkan cubaan komunis meletupkan satu empangan di Perak. Selepas hampir tiga bulan berada di hutan, satu pasukan bantuan ditugaskan menghantar bekalan makanan. 

Malangnya, empat anggota yang menaiki bot diserang hendap dan dibunuh kejam dengan mayat mereka dikelar dengan pisau oleh komunis. 

Pasukan VAT 69 kemudian mengesan kedudukan khemah musuh berhampiran Grik pada 3 September 1975. Sebelum itu, mereka kehilangan jejak komunis dan ketika tiba di satu kawasan tanjung untuk mendapatkan bekalan air bersih, penjejak laluan ternampak musuh di kawasan sama. 

Serentak itu, tiga patrol terdiri daripada 18 orang bergabung dalam barisan panjang, semua berpecah mengambil kedudukan bertempur hebat dengan komunis dianggarkan antara 30 hingga 40 orang. 

Pertempuran itu mengorbankan 18 orang dan dua anggota VAT 69 parah iaitu Aziz Idris dan ketua patrol, Sheikh Ismail. 

“Peluru bertaburan macam hujan, nak angkat kepala pun tak boleh, peluru lalu atas kepala. Kami menyerang guna bom tangan. Selepas 45 minit bertempur, terdengar jeritan ‘bawa ke sungai’ dan kami percaya komunis bawa lari rakan tercedera ke laluan sungai supaya jejak sukar dikesan,” katanya. 

Ketika bertempur, operator perhubungan, Ahmad Dahlal Hashim, mendapatkan bantuan Zabri yang ketika itu mengetuai pasukan lain di kawasan berdekatan. Disebabkan hujan lebat dan jaraknya jauh, pasukan Zabri tiba di kawasan pertempuran pada awal pagi keesokannya. 

Selepas pertempuran selesai, VAT 69 menemui bekalan termasuk senjata dan makanan dan merampas rampas bom, pelancar roket, makanan dipercayai untuk projek khas meletupkan empangan. 

Sebaik tiba, Zabri mengarahkan pasukan menghala ke tempat pendaratan helikopter yang jaraknya kira-kira sehari perjalanan bagi mengeluarkan anggota tercedera mendapatkan rawatan. 

“Zabri arahkan kami jangan mengejar komunis kerana bimbang terkena perangkap samar dan minta tumpukan kepada misi membawa anggota keluar. Beliau sering mengingatkan jangan sesekali tersalah langkah terpijak jerangkap samar yang biasa dipasang di denai binatang. 

“Komunis gunakan jerangkap bom dipasang bateri, dibungkus plastik supaya tidak rosak dan tahan lama. Malangnya ketika dalam perjalanan, Zabri sendiri yang terkena. Beliau bersama penjejak Orang Asli, Bahuda berada di depan, manakala penjejak Apot, berada di belakang kerana kepenatan bertempur. 

“Ketika melintasi kawasan sungai, mungkin Zabri terlupa dan memang ajalnya sudah tiba, beliau terpijak akar kayu yang dipasang perangkap bom. Letupan kuat berlaku dan saya dengar Mail Rantai jerit ‘habislah...bos dah kena’ 

“Bos putus kaki kanan, tetapi masih sedarkan diri, darah banyak mengalir. Walaupun kesakitan, beliau tetap semangat, masih fikirkan pasal berjuang, naikkan semangat anak buah supaya tidak mudah menyerah,” katanya. 

Mereka membuat keputusan melalui laluan lain kerana percaya komunis akan menunggu di mana-mana tempat dan akan menyerang ketika dalam perjalanan. 

Zabri dibawa keluar menggunakan pengusung dan pakar perubatan pasukan, Abdul Rahman Sabden, merawatnya sepanjang perjalanan. 

“Bos menghembus nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke tempat helikopter. Ketika itu, semua anggota kaku, menangis, tak tertahan melihat ketua yang dedikasi, bersemangat meninggalkan kami. Hingga sekarang kami akan kenang kejadian itu,” katanya. 

Ketika tiba di tempat pendaratan helikopter, mereka mendapat bantuan daripada Rejimen Komando Gerak Khas (RGK) dan pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membuat serangan udara di tempat disyaki. 

Anggota keselamatan yang berada dalam hutan dikumpul di tempat selamat dan serangan udara berlaku dua jam tanpa henti. Pasukan RGK kemudian meneruskan operasi darat bagi menghapuskan saki baki komunis di kawasan berkenaan. 

Info: Anggota Platun 1 ke platun 2 
    * Jamil Othman
    * Ahmad Dahalal Hashim
    * Chin Hajeed
    * Che Meh (Allahyarham)
    * Abu Seman
    * Sallehuddin Omar 

Anggota Platun 1 ke platun 3. 
    * Mohd Zahid Shamsuddin
    * Rasidi Jamaluddin
    * Ibrahim Che Mat
    * Abd Aziz Idris (Allahyarham)

Sumber: FB Ujang
 
Copyright © 2014 Anything - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR I2U | PH | TAW | ID | AAB | FSB | AG |