Peniaga Low Yat didenda RM1,800 kerana mendatangkan kecederaan


Tiga penjual telefon bimbit masing-masing didenda RM1,800 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini kerana menyebabkan kecederaan kepada dua individu di Plaza Low Yat, bulan lalu.

Low Leong Seng, 29, Eric Chan Weng, 23, dan Soo Weng Hing, 26, mengaku salah memukul Shahrul Anuar Abdul Aziz, 22, dan Mohamad Khairul Azmi Mazlan, 23, pada jam 4.57 petang, pada 11 Julai lalu di pusat beli belah popular itu.

Ketiga-tiga mereka didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa berkunjung ke Plaza Low Yat untuk mencari telefon bimbit yang hilang tetapi meninggalkan pusat beli belah terbabit sejam kemudian.

Mohamad Khairul yang pergi dari situ secara berasingan dengan Shahrul terdengar lelaki menjerit “Tahan, Tahan, Tangkap, Tangkap! Ada orang curi phone (telefon)”.

Dia kemudian ternampak seorang lelaki Melayu berlari di eskalator sebelum menyedari individu terbabit adalah rakan Shahrul Anuar yang kemudian terjatuh dan dipukul beberapa lelaki.

Mohamad Khairul yang datang untuk membantu rakannya, kemudian turut dipukul.

Dalam rayuan, ketiga-tiga mereka merayu mahkamah mengenakan hukuman ringan.

Low dan Eric memberitahu mahkamah bahawa mereka perlu menjaga ibu dan bapa masing-masing.

Manakala, Soo berkata, dia perlu menjaga ayahnya yang berusia 60 tahun.

Majistret, Muhamad Faizal Ismail mengenakan denda masing-masing RM1,800 setiap seorang dan berkata, kegagalan mereka menjelaskan denda boleh dipenjara dua bulan.

Pendakwaan dibuat oleh Timbalan Pendakwaraya, N Joy Jothi manakala ketiga-tiga mereka tidak diwakili peguam.

Pada 11 Julai lalu, satu pergaduhan berlaku di Plaza Low Yat apabila seorang rakan lelaki terbabit yang dituduh mencuri telefon bimbit, kembali ke pusat beli belah berkenaan dan menyerang pekerja di situ.

Lelaki berkenaan bersama rakannya menyerang pekerja dan merosakkan barang di kedai yang dianggarkan bernilai RM70,000.

Suspek, Shahrul Anuar, 22, didakwa pada 13 Julai kerana mencuri telefon bimbit Lenovo S860 yang bernilai RM800 dari Techasia Boutique di Plaza Low Yat pada jam 4.47 petang, 11 Julai lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

 
Copyright © 2014 Anything - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR I2U | PH | TAW | ID | AAB | FSB | AG |