SPRM sambut baik pembatalan pertukaran dua pegawai kanannya ke JPM

MUSTAFAR: SPRM menyambut baik kenyataan Ketua Setiausaha Negara yang membatalkan pertukaran dua pegawai kanan mereka ke JPM

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyambut baik kenyataan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Ali Hamsa yang membatalkan pertukaran dua pegawai kanan mereka ke Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Mustafar Ali berkata suruhanjaya ini berpandangan bahawa ia satu tindakan yang baik dan sangat wajar.

"SPRM ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal serta semua pihak yang terlibat dalam hal berkenaan.

"SPRM akan terus menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan bebas, telus dan profesional sebagaimana termaktub dalam Akta SPRM 2009 dan aspirasi suruhanjaya tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

SPRM mengeluarkan kenyataan itu sejurus selepas pengumuman mengenai perkara itu dibuat KSN.

Sebelum itu, Ali dalam satu kenyataan mengumumkan pembatalan pertukaran dua pegawai kanan SPRM ke JPM.

Beliau menjelaskan, dua pegawai berkenaan, iaitu Pengarah Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik SPRM Datuk Rohaizad Yaakob kembali ke jawatan asal masing-masing di SPRM berkuat kuasa hari ini.

Menurutnya, beliau dan Zabidi telah berjumpa dengan dua pegawai SPRM yang terlibat dalam perpindahan itu.

Katanya, kedua-dua pegawai tersebut telah memberikan penjelasan mengenai tindakan mereka mengeluarkan kenyataan media.

"Susulan dengan penjelasan tersebut, saya telah membuat keputusan membatalkan pertukaran kedua-dua pegawai itu ke JPM dan mereka kembali ke jawatan asal masing-masing di SPRM berkuat kuasa hari ini," katanya.

Jumaat lepas, kedua-dua pegawai itu dilaporkan ditukarkan ke JPM dan diarah melaporkan diri pada hari ini.
 
Copyright © 2014 Anything - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR I2U | PH | TAW | ID | AAB | FSB | AG |